Monday, April 19, 2010

LAPORAN PROGRAM REMAJA GEMILANG TANPA DADAH PERINGKAT KEBANGSAAN 2007

TARIKH : 25 OGOS 2007
MASA : 4 HINGGA 10 MALAM
TEMPAT : TAMAN TASIK TITIWANGSA, KUALA LUMPUR


Kelab PEMADAM kali ini menyertai program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Pembangunan Remaja Malaysia bertempat di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Program yang berlangsung 2 hari ini bermula pada 25 Ogos 2007 disertai seramai 75 orang pelajar daripada UiTM Malaysia yang keseluruhannya terdiri daripada ahli kelab PEMADAM yang dipimpin oleh saudara Sharafuddin Shuib.

Para peserta telah berkumpul di perhentian bas kolej teratai sebelum bertolak ke Taman Tasik Titwangsa tersebut sekitar jam 4.40 petang dan tiba di lokasi berkenaan pada jam 6 petang. Para peserta telah disambut oleh urussetia program berkenaan dan telah diberikan sehelai t-shirt setiap seorang dan juga makanan untuk petang itu.

Sekitar jam 6.30 petang, urussetia memberi taklimat berkenaan tugasan yang akan dijalankan oleh peserta yang hadir. Kelab PEMADAM telah diarahkan bagi menjalankan bacaan ikrar Remaja Gemilang. Seramai 75 orang peserta menyertai bacaan ikrar ini diketuai oleh pengerusi Kelab PEMADAM sendiri. Selesai sudah taklimat, latihan telah dijalankan bagi menyesuaikan dengan suasana di sana.

Pada jam 7.50 malam, semua peserta telah berkumpul di hadapan pentasm utama bersama dengan sebuah pancaragam daripada sebuah sekolah yang dijemput khas. Upacara majlis dimulakan sebaik sahaja timbalan menteri kementerian keselamatan dalam negeri, Dato Johari Baharum tiba. Dimulakan dengan mainan pancaragam tersebut, beliau diirngi ke pentas utama.

Setelah nyanyian lagu Negaraku sempurna, saudara Sharafuddin Shuib memulakan bacaan ikrar Remaja Gemilang mengetuai seramai 75 peserta yang lain. Selepas bacaan ikrar, majlis simbolik perasmian program dirasmikan oleh Dato Johari Baharum dan diselesaikan dengan penyampaian sijil dan cenderahati.

Program seterusnya diteruskan dengan konsert nyanyian dimana ramai artis dijemput ke program tersebut dalam usaha memupuk para remaja agar menjauhi dadah durjana. Dalam masa yang sama juga, pelbagai pameran daripada badan-badan kerajaan turut bersama memeriahkan majlis.

Antara yang hadir ialah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Alumni Pendamai Malaysia, Jabatan Belia & Sukan WP Kuala Lumpur, Jabatan Kebajikan Masyarakat WP Kuala Lumpur dan lain-lain. Usaha yang dijalankan ini diharap mampu memberi kesedaran kepada para remaja tentang bahayanya dadah kepada tahap maksimum.

Sekitar jam 10 malam, semua peserta yang hadir bertolak pulang ke kampus utama UiTM dan tiba dengan selamat pada jam 11.00 malam.

LAPORAN PERTANDINGAN PAMERAN DAN AKTIVITI KELAB

TARIKH : 30 & 31 JANUARI 2007
MASA : 8.30 PAGI HINGGA 5.00 PETANG
TEMPAT : DEWAN ANNEX UITM SHAH ALAM


Program ini adalah anjuran bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Majlis Perwakilan Pelajar dan Persatuan-persatuan Pelajar Uitm Shah Alam. Kelab PEMADAM yang berdaftar di bawah HEP turut serta bagi aktiviti yang dijalankan ini sekaligus menjadikan salah satu aktiviti kelab. Seramai 24 orang peserta dari kelab PEMADAM menyertai pameran ini dimana setiap orang dibahagikan tugas untuk menjaga ‘boot’ pameran bergilir-gilir.

Bermula 8 pagi 30 Januari, para peserta menyediakan selengkapnya bahan pameran masing-masing. Kelab PEMADAM telah menyediakan carta organisasi kelab yang diterajui oleh penasihat kelab diikuti presiden kelab, Sharafuddin Shuib. Contoh-contoh aktiviti-aktiviti kelab yang telah dilaksanakan juga dipamerkan sebagai daya tarikan pengunjung. Bahan keperluan yang diminta oleh penganjur seperti senarai nama petugas pameran turut disediakan bagi kelancaran aktiviti ini.

Persembahan multimedia turut disediakan dan juga buku-buku berkaitan dadah dan langkah-langkah pencegahan dadah. Flyers juga turut diedar kepada pengunjung ke boot pameran kelab ini. Sebanyak 250 keping poster telah diedarkan kepada pengunjung pameran sebagai daya tarikan kepada kelab ini dan hasilnya ramai pelajar-pelajar uitm tertarik dengan langkah yang di ambil namun bukan ini sahaja yang berjaya menambat pelajar-pelajar untuk menyertai kelab ini, tetapi dengan pelbagai aktiviti menarik yang bakal dilaksanakan. Impak positif dapat dilihat iaitu hamper 200 pelajar uitm mendaftar untuk menjadi ahli kelab PEMADAM. Ini secara tidak langsung menunjukkan pemahaman positif dari kalangan pelajar terhadap pencegahan dadah.

Antara pengunjung yang hadir juga terdiri di kalangan staf-staf uitm dan mereka telah diterangkan oleh petugas-petugas berkenaan kelab dan perananya. Turut dilawati boot pameran kelab ini ialah Yang Berbahagia Datuk Dr. Adham Baba, Setiausaha Parlimen, Kementerian Pengajian Tinggi. Prof. Dr. Fauziah juga turut melawati boot pameran ini disertai dengan staf-staf.








Kesemua petugas yang terdiri daripada ahli kelab memakai vest kelab sebagai cara menonjolkan keterampilan diri masing-masing. Jangkaan luar biasa juga dapat dilihat dimana, ada suatu ketika boot pameran seolah-olah diserbu oleh pelajar-pelajar untuk mendapatkan maklumat dan juga mendaftar sebagai ahli.

Pertandingan pameran ini juga telah berjaya membuktikan pameran yang disediakan oleh kelab PEMADAM menarik perhatian para juri permarkahan. Kelab PEMADAM telah menjuarai pertandingan ini bagi kategori persatuan berkongsi dengan kelab kaunseling uitm. Sebanyak RM100 beserta sijil dan plak telah dimenangi oleh kelab. Secara tidak langsung telah menyemarakan semangat ahli-ahli kelab untuk lebih aktif berkecimpung dalam kelab ini dengan pelbagai aktiviti dirancang.

Program ini telah ditutup secara rasmi pada jam 10.00 malam, 31 Januari 2007 setelah majlis penyampaian anugerah kecemerlangan persatuan 2006 tamat.

LAPORAN PERJUMPAAN RASMI III KELAB PEMADAM

TARIKH : 19 JULAI 2007
MASA : 8.00-11.00 MALAM
TEMPAT : KOMPLEKS TERATAI 1

Pada tarikh 19 Julai 2007 yang lalu, Kelab PEMADAM cawangan UiTM Shah Alam telah mengadakan satu perjumpaan rasmi bagi penggal kedua tahun ini. Perjumpaan ini merupakan perjumpaan rasmi yang ketiga pada tahun ini setelah dua perjumpaan pada penggal pertama lalu. Buat pertama kalinya juga, Kelab PEMADAM telah mengenakan yuran sebanyak RM 2 kepada ahli-ahli yang baru mendaftar. Hasil kutipan yuran ini adalah bagi menampung perbelanjaan kelab untuk menjalankan aktiviti, dan sebagai percubaan kami memberikan sebentuk lencana PEMADAM secara percuma bagi setiap orang yang mendaftar. Walau bagaimanapun, ahli-ahli lama tidak dikenakan yuran tersebut sebagai menghrgai kesetiaan mereka bersama Kelab PEMADAM selama ini.

Objektif utama perjumpaan pada kali ini adalah untuk memperkenalkan Kelab PEMADAM serta menarik seberapa ramai pelajar baru yang mendaftar pada semester ini. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk memberi sedikit penerangan dan perkembangan terkini tentang aktiviti Kelab PEMADAM pada penggal ini. Dianggarkan seramai 160 orang pelajar yag telah hadir pada perjumpaan kali ini dan lebih kurang 60 orang daripadanya merupakan ahli baru. Kebanyakan daripada mereka berminat dengan aktiviti-aktiviti menarik yang bakal kami jalankan untuk semester ini. Antaranya ialah, beberapa siri pameran yang mana antaranya akan dijalankan di luar kampus, lawatan pembelajaran ke Syarikat KarangKraf Sdn.Bhd, senamrobik perdana senpena bulan kemerdekaan dan banyak lagi.



Menariknya, pada malam perjumpaan itu juga, Presiden Kelab PEMADAM telah merasmikan KUIZ PERDANA PEMADAM UiTM 2007 yang akan berlangsung mulai 19 Julai dan berakhir pada 1 September 2007. Penyertaan ini adalah terbuka kepada semua warga UiTM sama ada ahli atau bukan. Kuiz yang bertemakan antidadah dan kemerdekaan ini juga dilancarkan bersempena bulan kemerdekaan yang akan datang yang mana Malaysia bakal menyambut hari kemerdekaan yang ke-50 tahun. Sehubungan itu, kami juga ingin mengambil inisiatif ini untuk berkempen kepada semua warga UiTM untuk sama-sama menghargai negara kita di samping menjauhi najis dadah.

Selain itu, kami juga telah membuka peluang kepada pelajar-pelajar yang berminat untuk mengambil bahagian dalam beberapa siri pameran antidadah yang akan dijalankan pada 21 & 22 Julai serta pada 4 Ogos 2007 akan datang. Respons yang kami terima amatlah menggalakkan kerana had yang ditetapkan adalah seramai 10 orang sahaja dalam setiap siri namun kami telah menerima lebih 50 nama pelajar yang ingin menyertai pameran tersebut. Kami juga mengambil kesempatan yang ada untuk membuka peluang kepada sesiapa yang ingin mengikuti lawatan pembelajaran ke Syarikat KarangKraf Sdn.Bhd pada 10 Ogos akan datang.

Pada perjumpaan kali ini juga, Setiausaha Kehormat PEMADAM Negeri Selangor, En. Hashim Bin Anang telah meluangkan masa untuk turut serta dalam majlis ini. Beliau telah menyampaikan sedikit ceramah yang berbentuk nasihat dan peringatan kepada pelajar-pelajar kita agar bijak membawa diri yang jauh dari keluarga dan jangan sesekali mendekati apa jua bentuk dadah.

Kami berharap dengan sedikit penerangan dari En. Hashim dapat membuka minda para pelajar agar lebih berhati-hati terutamanya dalam aspek memilih kawan dan hiburan. Majlis seterusnya bersuarai pada jam 11.00 malam.

LAPORAN PERJUMPAAN BERSAMA SETIAUSAHA KEHORMAT PEMADAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN

TARIKH : 26 JANUARI 2007
MASA : 8.30 MALAM
TEMPAT : KOMPLEKS BELIA SEKSYEN 7

Perjumpaan ini telah diatur sendiri oleh Encik Hashim Anang yang bertempat di kompleks belia seksyen 7 Shah Alam. Turut dihadiri ialah pelajar-pelajar dari Kolej PTPL dan juga jawatankuasa kelab PEMADAM Uitm. Perjumpaan ini bertujuan pengenalan kepada PEMADAM negeri disamping ramah mesra antara Encik Hashim bersama dengan pelajar uitm dan kolej PTPL.

Majlis dimulakan dengan sedikit makan malam yang disediakan oleh pihak kompleks belia dan diselia oleh Encik Hashim sendiri. Jam 9 malam, encik Hashim memulakan ucapan penghargaan kepada semua hadirin kerana dapat hadir bagi perjumpaan tersebut. Kelab PEMADAM sendiri telah menghantar semua ahlijawatankuasa tinggi kelab PEMADAM iaitu terdiri daripada 12 orang pelajar termasuk presiden kelab sendiri.

Beliau menerangkan serba sedikit peranan yang dimainkan oleh PEMADAM negeri bermulanya dari pihak atasan. Penglibatan semua anggota kerajaan turut diselitkan dalam ucapan beliau sebagai peranan dan pencegahan dadah ini seluuh peringkat. Encik Hashim turut menyarankan kepada hadirin agar usaha pencegahan dadah ini diteruskan tanpa mengira masa dan halangan sekalipun demi menyelamatkan bangsa dan negara Malaysia.

Kelab PEMADAM Uitm telah mengambil inisiatif dengan menerangkan aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan seperti program pengedaran poster, seminar, lawatan, forum dan juga pameran. Turut dinyatakan juga perancangan jangka pangjang kelab iaitu perkhemahan kelab PEMADAM, program motivasi ke sekolah dan sebagainya.

Para wakil dari kolej PTPL turut menyatakan tarikan minat mereka bagi menjalinkan kerjasama dengan kelab PEMADAM uitm bagi menjalankan sebarang aktiviti yang menjurus kepada usaha pencegahan dadah seperti yang dianjurkan oleh Encik Hashim sendiri dalam ucapan beliau. Perjumpaan ini ditamatkan pada jam 10.30 malam.

LAPORAN PROGRAM PENGEDARAN ‘FLYERS’ SIRI II

Tempat : Perkarangan Stadium Shah Alam, Seksyen 13
Masa : 8.30 pagi – 10.30
Tarikh : 11 Februari 2007


Aktiviti pengedaran ‘flyers’ kali ketiga ini iaitu sambungan daripada program pengedaran flyers bersiri telah berjalan dengan lancar dan sempurna. Penyertaan daripada ahli kurang mendapat sambutan bagi menjalankan aktiviti tersebut namun ahlijawatankuasa kelab ini telah bertungkus lumus bagi menjayakan aktiviti ini.

Seawal jam 8.00 pagi semua peserta termasuk ahlijawatankuasa berkumpul di dataran cendekia disusuli dengan sedikit penerangan berkenaan pengedaran ini. Langkah-langkah dan cara pelaksanaan diterangkan agar semua peserta dapat menunjukkan tingkah laku yang baik sejajar dengan aspirasi UITM.

Jam 8.30 pagi semua peserta tiba dengan kenderaan masing-masing dan aktiviti tersebut terus dimulakan di kawasan pasar pagi yang dijalankan di perkarangan stadium Shah Alam. Sepanjang proses pengedaran ‘flyer’ ini juga peserta juga ditanya tentang aktiviti berkenaan. Impak yang positif juga dapat dilihatkan daripada pengunjung di situ dimana ada yang tertarik dengan aktiviti seperti ini yang dijalankan. Pengunjung-pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan turut bertanya dan ingin menyertai kelab PEMADAM khusus pelajar uitm sendiri dan juga masyarakat luar. Sedikit penerangan telah diberikan kepada pengunjung yang menerima ‘flyers’ ini.

Jam 10.30 pagi kesemua ‘flyers’ telah habis diedarkan kepada pengunjung termasuk pengerai-pengerai yang ada di situ. Sedikit taklimat ringkas diadakan kepada peserta berkenaan aktiviti ini dan semua peserta menikmati minuman ringkas selepas program berakhir.

LAPORAN PROGRAM PENGEDARAN ‘FLYERS’ SIRI III

Tempat : Perkarangan Centre Point Plaza Klang
Masa : 10.30 pagi – 1.00 tengahari
Tarikh : 17 Februari 2007


Aktiviti pengedaran ‘flyers’ ini merupakan susulan kepada aktiviti pengedaran ‘flyers’ yang telah dijalankan di perkarangan Plaza Alam Sentral dan Kompleks PKNS. Aktiviti ini telah berjalan dengan lancar dan teratur. Penyertaan daripada ahli mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Seramai 12 orang ahli bersama 5 orang ahli jawatankuasa telah bersama-sama menjayakan lagi program pemgedaran ‘flyers’ ini.

Seawal jam 10.30 pagi semua peserta termasuk ahli jawatankuasa berkumpul di dataran cendekia UiTM Shah Alam disusuli dengan sedikit penerangan berkenaan pengedaran ini. Langkah-langkah dan cara pelaksanaan diterangkan agar semua peserta dapat menunjukkan tingkah laku yang baik sejajar dengan aspirasi UITM.

Pada jam 11.30 pagi, kesemua peserta yang telibat telah tiba di perkarangan CentrePoint Plaza Klang. Pengedaran ‘flyers’ pada kali ini lebih tertumpu kepada golongan yang sudah bekerja.

Jam 12.30 pagi kesemua ‘flyers’ telah habis diedarkan kepada pengunjung termasuk pengerai-pengerai yang ada di situ. Sedikit taklimat ringkas diadakan kepada peserta berkenaan aktiviti ini dan semua peserta menikmati minuman ringkas selepas program berakhir.

LAPORAN PROGRAM PENGEDARAN ‘FLYERS’ SIRI I

Tempat : Perkarangan Plaza Alam Sentral dan Kompleks PKNS
Masa : 11.00 pagi – 1.30 tengahari
Tarikh : 3 Februari 2007


Aktiviti pengedaran ‘flyers’ ini merupakan aktiviti yang pertama kali diadakan di luar kampus bagi semester ini. Aktiviti ini telah berjalan dengan lancar . Penyertaan daripada ahli mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Seramai 9 orang ahli bersama 4 orang ahli jawatankuasa telah bersama-sama menjayakan lagi program pemgedaran ‘flyers’ ini.

Seawal jam 11.00 pagi semua peserta termasuk ahli jawatankuasa berkumpul di perkarangan kompleks PKNS disusuli dengan sedikit penerangan berkenaan pengedaran ini. Langkah-langkah dan cara pelaksanaan diterangkan agar semua peserta dapat menunjukkan tingkah laku yang baik sejajar dengan aspirasi UITM.

Pada jam 11.15 pagi, kesemua peserta yang telibat telah dibahagikan kepada 2 kumpulan dimana ianya terbahagi kepada 2 tempat iaitu diperkarangan kompleks PKNS dan diperkarangan Plaza Alam Sentral. Pengedaran ‘flyers’ ini telah mendapat sammbutan yang amat menggalakkan, ini di sebabkan oleh adanya pameran Institusi-institusi Pengajian Tinggi Se-Malaysia dan telah dihadiri oleh pelajar-pelajar sekolah seluruh negeri Selangor. Disebabkan itu, pengedaran ‘flyers’ ini tertumpu kepada pelajar-pelajar sekolah. Pelajar-pelajar ini merupakan tumpuan bagi memberi pendedahan awal kepada mereka tentang bahayanya dadah.

Jam 12.20 pagi kesemua ‘flyers’ telah habis diedarkan kepada pengunjung di Plaza Alam Sentral dan juga Kompleks PKNS. Sedikit taklimat ringkas diadakan kepada peserta berkenaan aktiviti ini dan semua peserta menikmati minuman ringkas selepas program berakhir.