TARIKH : 19 JULAI 2007
MASA : 8.00-11.00 MALAM
TEMPAT : KOMPLEKS TERATAI 1
Pada tarikh 19 Julai 2007 yang lalu, Kelab PEMADAM cawangan UiTM Shah Alam telah mengadakan satu perjumpaan rasmi bagi penggal kedua tahun ini. Perjumpaan ini merupakan perjumpaan rasmi yang ketiga pada tahun ini setelah dua perjumpaan pada penggal pertama lalu. Buat pertama kalinya juga, Kelab PEMADAM telah mengenakan yuran sebanyak RM 2 kepada ahli-ahli yang baru mendaftar. Hasil kutipan yuran ini adalah bagi menampung perbelanjaan kelab untuk menjalankan aktiviti, dan sebagai percubaan kami memberikan sebentuk lencana PEMADAM secara percuma bagi setiap orang yang mendaftar. Walau bagaimanapun, ahli-ahli lama tidak dikenakan yuran tersebut sebagai menghrgai kesetiaan mereka bersama Kelab PEMADAM selama ini.
Objektif utama perjumpaan pada kali ini adalah untuk memperkenalkan Kelab PEMADAM serta menarik seberapa ramai pelajar baru yang mendaftar pada semester ini. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk memberi sedikit penerangan dan perkembangan terkini tentang aktiviti Kelab PEMADAM pada penggal ini. Dianggarkan seramai 160 orang pelajar yag telah hadir pada perjumpaan kali ini dan lebih kurang 60 orang daripadanya merupakan ahli baru. Kebanyakan daripada mereka berminat dengan aktiviti-aktiviti menarik yang bakal kami jalankan untuk semester ini. Antaranya ialah, beberapa siri pameran yang mana antaranya akan dijalankan di luar kampus, lawatan pembelajaran ke Syarikat KarangKraf Sdn.Bhd, senamrobik perdana senpena bulan kemerdekaan dan banyak lagi.
Menariknya, pada malam perjumpaan itu juga, Presiden Kelab PEMADAM telah merasmikan KUIZ PERDANA PEMADAM UiTM 2007 yang akan berlangsung mulai 19 Julai dan berakhir pada 1 September 2007. Penyertaan ini adalah terbuka kepada semua warga UiTM sama ada ahli atau bukan. Kuiz yang bertemakan antidadah dan kemerdekaan ini juga dilancarkan bersempena bulan kemerdekaan yang akan datang yang mana Malaysia bakal menyambut hari kemerdekaan yang ke-50 tahun. Sehubungan itu, kami juga ingin mengambil inisiatif ini untuk berkempen kepada semua warga UiTM untuk sama-sama menghargai negara kita di samping menjauhi najis dadah.
Selain itu, kami juga telah membuka peluang kepada pelajar-pelajar yang berminat untuk mengambil bahagian dalam beberapa siri pameran antidadah yang akan dijalankan pada 21 & 22 Julai serta pada 4 Ogos 2007 akan datang. Respons yang kami terima amatlah menggalakkan kerana had yang ditetapkan adalah seramai 10 orang sahaja dalam setiap siri namun kami telah menerima lebih 50 nama pelajar yang ingin menyertai pameran tersebut. Kami juga mengambil kesempatan yang ada untuk membuka peluang kepada sesiapa yang ingin mengikuti lawatan pembelajaran ke Syarikat KarangKraf Sdn.Bhd pada 10 Ogos akan datang.
Pada perjumpaan kali ini juga, Setiausaha Kehormat PEMADAM Negeri Selangor, En. Hashim Bin Anang telah meluangkan masa untuk turut serta dalam majlis ini. Beliau telah menyampaikan sedikit ceramah yang berbentuk nasihat dan peringatan kepada pelajar-pelajar kita agar bijak membawa diri yang jauh dari keluarga dan jangan sesekali mendekati apa jua bentuk dadah.
Kami berharap dengan sedikit penerangan dari En. Hashim dapat membuka minda para pelajar agar lebih berhati-hati terutamanya dalam aspek memilih kawan dan hiburan. Majlis seterusnya bersuarai pada jam 11.00 malam.
Monday, April 19, 2010
LAPORAN PERJUMPAAN RASMI III KELAB PEMADAM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment